Saturday, October 31, 2009

Kes Rokok 2


WALAUPUN terdapat pelekat beramaran yang melarang menjual rokok kepada remaja berusia 18 tahun ke bawah, namun Kongres Dalam Perkhidmatan Pendidikan mendapati pelajar sekolah bebas membeli rokok di kedai sekitar sekolah masing-masing walaupun berpakaian seragam sekolah.

Presidennya, Profesor Madya Dr. Abd Rahman Daud kesal kerana apa yang berlaku sekarang ialah pelajar dengan mudah membeli rokok di kedai-kedai makan atau runcit yang terletak berdekatan sekolah. "Sepatutnya, pengusaha kedai makan dan runcit ini tidak menjual rokok kepada pelajar sekolah, tetapi kerana memikirkan keuntungan, mereka menjual rokok kepada pelajar sekolah," katanya.

Menurut beliau lagi, masalah rokok membawa kepada berlakunya masalah-masalah disiplin yang lain seperti ponteng sekolah, berkawan dengan orang luar yang berkelakuan tidak senonoh dan akhirnya putus minat terhadap pelajaran.

Bagi menyentuh peranan sekolah pula, Profesor Madya Dr. Abd Rahman Daud mahu pengetua, guru besar dan guru-guru biasa perlu memainkan peranan sebagai guru disiplin bagi menangani gejala gangsterisme di sekolah. Jadi, masalah disiplin pelajar dapat dikesan dan diatasi dengan segera..

Katanya, masalah disiplin itu boleh diselesaikan tanpa perlu menunggu kehadiran guru disiplin kerana apa yang penting ialah mengawalnya daripada merebak menjadi lebih teruk. "Pengetua dan guru besar pula perlulah lebih tegas terhadap disiplin pelajar," katanya.

Beliau yang juga Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat berkata, ketika beliau berada di bangku sekolah pada tahun 1960an, pelajar yang didapati merokok akan dirotan sebanyak tiga kali di punggung dan digantung sekolah selama tiga minggu.

"Dalam hal ini, tindakan pengetua atau guru besar perlulah mendapat sokongan padu daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Kementerian Pendidikan sendiri," katanya.

Selain itu, Abd. Rahman berkata, masyarakat turut memainkan peranan bagi mengawasi disiplin pelajar. Menurutnya, setiap ahli masyarakat perlu bekerjasama membimbing pelajar ke arah kebaikan. Selain itu, katanya, jika pelajar didapati terlibat dalam kegiatan kumpulan haram atau samseng maka tindakan masyarakat ialah melaporkannya kepada pihak sekolah dan polis.

Kedua-dua pihak itu jelasnya perlu diberitahu mengenai keadaan sebenar pelajar yang terlibat.

"Apa yang berlaku sekarang ialah masyarakat sekitar menganggap mereka tidak perlu `menjaga tepi kain orang' dan inilah penyakit yang akhirnya meruntuhkan institusi masyarakat itu sendiri," katanya.

Beliau turut menggariskan beberapa langkah yang boleh diambil bagi menangani masalah jenayah dan budaya merokok dalam kalangan pelajar sekolah.

Pelaksanaan langkah itu katanya memerlukan kerjasama semua pihak terutama ibu bapa.

Menurutnya, ibu bapa adalah orang yang paling hampir dan dekat dengan anak-anak.

Justeru katanya didikan awal kanak-kanak perlu diberi penekanan oleh setiap anggota keluarga.

"Bagi masyarakat Islam, didikan agama perlu diberi penekanan yang mendalam supaya masalah sosial pelajar dapat dihindarkan," katanya.

Katanya, pengawasan ibu bapa bukan sahaja di peringkat awal tetapi berlarutan sehingga remaja dan dewasa.

Mengenai punca yang menyebabkan kegiatan merokok dalam kalangan pelajar sekolah semakin berleluasa pada masa kini, beliau berkata, terdapat tiga punca yang sebelum ini pernah dibincangkan oleh pelbagai pihak iaitu masalah keluarga; pengaruh rakan sebaya dan persekitaran di sekolah.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails
Related Posts with Thumbnails
Name:
Email Address:

For fast action and better services to avoid any miss-communication, please enter the following details:

Guest Contact No:
Please enter your details of comment / complaint

Form provided by Freedback.
 

Pak Karim Copyright © 2008 Black Brown Art Template by Ipiet's Blogger Template